Tuesday, November 15, 2011

KEBERSIHAN DAPUR

        
 
1. Kebersihan harus diberi perhatian kepada tempat penyediaan masakan dan paling penting, kepada tukang masak. Basuh tangan dengan air suam dan sabun selama 20 saat, sebelum menyediakan makanan dan selepas menyentuh daging mentah. Rambut dalam keadaan kemas, samada diikat atau ditutup. Pastikan sebarang luka di tangan tidak dibiar terbuka. Jika terdapat luka yang boleh berjangkit, jangan teruskan memasak.

2. Kawasan memasak mestilah bersih dan kemas. Basuh permukaan kawasan memasak dengan campuran 1 sudu besar peluntur klorin dan 1 liter air, atau menggunakan produk pencuci dapur. Ini adalah untuk mengelakkan bakteria.

3. Selain itu, tuala dapur dan span juga harus dipastikan bersih. Apabila basah, ia akan membiak bakteria. Basuh tuala dapur dan span setiap minggu dengan air panas.

4. Sementara itu, sekali-sekala sink harus dibersihkan dengan campuran 5ml peluntur dan 1liter air, atau produk pencuci dapur. Sisa makanan yang terperangkap di dalam saluran sink beserta keadaan yang lembab akan menggalakkan pertumbuhan bakteria.

5. Gunakan papan pemotong yang diperbuat dari kayu keras atau plastik, dan tidak mempunyai retak. Elakkan papan pemotong yang diperbuat dari bahan lembut. Basuh papan pemotong dengan air panas, sabun, dan berus skrub. Bersihkan lagi menggunakan campuran peluntur dan air tadi. Papan pemotong harus dibersihkan dengan rapi selepas digunakan untuk makanan mentah seperti makanan laut dan ayam, dan juga sebelum digunakan untuk makanan yang sedia untuk dimakan. Jika boleh, tetapkan satu papan pemotong untuk bahan mentah, dan satu lagi untuk makanan segera seperti roti dan buah-buahan.

6. Basuh permukaan tin makanan sebelum dibuka untuk mengelakkan kekotoran masuk ke dalam makanan. Bersihkan bilah pembuka tin selepas setiap penggunaan. Mesin pengisar harus dibuka dan dibersihkan sejurus selepas digunakan.

7. Jangan letakkan daging yang telah dimasak di atas pinggan yang belum dibasuh, atau bekas yang diletak daging mentah.

8. Basuh buah-buahan dan sayur-sayuran dengan sekata dengan air suam. Jangan gunakan sabun atau pencuci. Adalah lebih baik menggunakan skrub kecil untuk menanggalkan kotoran di permukaan

CERITA YANG TAK MASUK AKAL

Seorang ayah pergi merantau ke luar negara untuk mencari rezeki meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak. Dia seorang yang penyayang dan sangat dikasihi dan dihormati pula oleh ahli keluarganya.Setelah keadaannya di rantau orang agak stabil, dia menghantar surat pertama kepada keluarganya. Mereka sangat gembira menerima surat yang sungguh bermakna dari seorang ayah yang sangat dikasihi dan disayangi. Sampul surat itu ditenung berulang kali. Masing-masing memeluk dan mengucup surat tersebut bagai tidak mahu dilepaskan. Kemudian surat yang berharga itu disimpan di dalam pembalut sutera yang indah. Sekali sekala surat itu dikeluarkan dari pembalutnya untuk dibersihkan daripada debu dan habuk. Kemudian meletakkan kembali di dalam pembalutnya.

Kemudian tiba pula surat kedua, ketiga dan seterusnya. Semuanya disimpan dan dijaga rapi seperti surat pertama.

Beberapa tahun berlalu…

Tibalah masa untuk si ayah pulang menemui keluarga tercinta. Alangkah terkejutnya dia apabila mendapati tiada seorangpun yang tinggal kecuali anak bongsunya. Dengan cemas dia bertanya:

- Mana ibumu?

- Ibu ditimpa sakit yang amat teruk. Kami tidak ada wang untuk membiayai rawatannya sehingga akhirnya dia meninggal dunia.
- Kenapa begitu? Apakah kamu tidak membuka suratku yang pertama? Di dalamnya terkandung sejumlah wang yang banyak untuk perbelanjaan kamu?

- Tidak!

- Di mana pula abangmu?

- Dia telah terpengaruh dengan kawan-kawan sebaya yang jahat. Selepas kematian ibu, tidak ada siapa yang mampu menasihatinya. Sekarang dia sudah jadi sebahagian daripada mereka.

- (Ayah semakin hairan) Kenapa begitu? Aku telah tulis dengan panjang lebar menasihati kamu agar berhati-hati memilih kawan. Jangan berkawan dengan orang jahat kerana lama kelamaan kita juga akan jadi jahat! Aku juga meminta agar abangmu itu mengikut aku di rantau orang. Apakah kamu tidak membaca suratku?

- Tidak!

- لا حول ولا قوة إلا بالله

- Kakakmu di mana?

- Dia pernah tulis surat kepada ayah meminta nasihat tentang seorang pemuda yang melamarnya. Sekarang dia telah berkawin dengan pemuda itu. Tapi malangnya dia tidak bahagia. Hidupnya menderita didera sepanjang masa lahir dan batin.

- Bukankah aku telah jawab surat itu menasihatinya agar jangan terima lamaran pemuda itu? Aku telah ingatkan, jangan pillih pasangan berdasarkan harta dan kedudukan. Tapi pilihlah berdasarkan agama, akhlak dan keturunan! Kamu tidak baca semua surat-suratku?

- Tidak! Kami simpan surat-surat ayah di dalam pembalut sutera yang cantik, kami usap dan cium surat itu sebagai tanda sayang dan rindu kami kepada ayah! Tetapi kami tidak membacanya…

Tidak ada siapa yang percaya akan kebenaran cerita ini. Mungkin ada yang akan berkata ia tidak masuk akal sama sekali!

Namun sedarkah kita bahawa inilah kisah benar. Kisah yang tak masuk akal inilah yang berlaku dalam kehidupan umat Islam hari ini?

Kita menerima SURAT dari Yang Maha Mengetahui, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Memerhati lagi Maha Bijaksana. SURAT yang mengandungi panduan, ajaran serta petunjuk dalam segenap bidang kehidupan. Tetapi sejauh mana kita membaca, memahami dan mengikuti panduan yang diberi?

Maka jadilah apa yang terjadi! Umat Islam mati dibunuh saban hari, di sana sini. Jenayah meningkat, keruntuhan akhlak mencemaskan di semua peringkat, wanita-wanita didera dan diperkosa tanpa mengira tua atau muda, bayi-bayi yang tidak berdosa dibuang merata-rata, dan bermacam-macam kejahatan, maksiat dan kemungkaran yang menjijikkan.

Semuanya berpunca daripada tidak membaca dan mengambil pengajaran daripada SURAT yang dikirim oleh Pencipta Yang Maha Esa Yang Amat Sayang kepada makhluk-Nya!


"Demi MASA! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian, kecuali
(1) orang-orang yang beriman, (2) dan yang beramal soleh
(3) dan yang berpesan2 pada kebenaran (4) dan yang berpesan2 pada kesabaran".
~Surah Al-'Asr.